Saturday, March 20, 2010

Pelancong Asing : Ke Malaysia 22 juta, Ke Indonesia 5 juta ?

Dengan 11 pintu masuk utama, khabarnya Indonesia sekadar menerima kedatangan pelancong asing sekitar 5.5 juta sahaja setiap tahun sejak satu dasawarsa lalu, berbanding dengan negara kita yang menerima tetamu sehingga 22.5 juta tahun lalu. Manakala Singapura dan Thailand masing-masing 10 juta dan 15 juta orang.

Kenapa Indonesia yang mempunyai 17,508 pulau yang indah-indah, budaya yang unik termasuk objek pelancongan yang diiktiraf oleh PBB sebagai warisan dunia tetapi tidak mampu meningkatkan kedatangan pelancong sekurang-kuranya menandingi Malaysia dan Singapura.

Dikalangan pelancong Malaysia,  Indonesia mempunyai beberapa pusat perniagaan dan membeli-belah yang menawarkan harga barangan dengan harga lebih rendah ditambah pula dengan tukaran asing yang berpihak kepada mereka telah menjadi satu tarikan bagi mereka. Ini menjadi faktor utama kenapa pelancong Malaysia ramai ke Indonesia selain sumbangan Airasia yang menyediakan tambang agak murah..

Terbaca satu artikel, bertajuk `Tragedi Parawisata Indonesia` dalam akhbar Kompas( sila klik), penulisnya Anak Agung Gde Agung mempersoalkan `bagaimana bisa Indonesia yang begitu meluap dengan kekayaan budaya dan kecantikan alam hanya menarik kurang dari seperempat jumlah turis yang dilakukan Malaysia yang relatif begitu tandus?`

Anak Agung mendakwa, hanya Bali sahaja yang menjadi fokas pelancongan oleh pemerintah Indonesia menyebabkan objek-objek pelancongan yang lain telah terabai hingga melembabkan kemudahan infrastruktur yang sepatutnya, boleh menarik para pelancong asing.

Sebagai seorang yang berminat berkunjung keIndonesia dan telah lebih 30 kali ke sana atas urusan perniagaan, saya dapati ada beberapa kriteria yang boleh menjadi sedikit halangan atau yang menyebab rasa kurang selesa tatkala mengunjungi negara tetangga itu.

Dengan hotel penginapan yang termahal di Asia Tenggara diikuti harga makanan yang lebih mahal dari beberapa ibu kota yang lain di rantau ini serta cukai lapangan terbang yang tidak berpadanan dengan kemudahan di lapangan terbang , adalah antara faktor yang boleh membantutkan industri pelancongan di Indonesia selain sikap pemandu teksi yang mengecewakan. Contohnya, cukai lapangan terbang KLIA cuma mengenakan RM25 ( kira-kira Rp70,000 ) berbanding Jakarta yang berjumlah Rp150,000 ( RM56 ).

Malah bagi pelancong Malaysia pula, faktor anti Malaysia sebilangan kecil rakyat Indonesia yang diperbesar media negara itu sebagai elemen tambahan yang memualkan rakyat Malaysia selain kerisauan bencana alam seperti gempa bumi yang kerap dan tidak dapat diramal itu.

No comments:

Post a Comment