Monday, March 22, 2010

Jakarta Book Fair 2010


Gambar Fail: Jakarta Book Fair 2009


JAKARTA BOOK FAIR 2010
DI GELORA BUNG KARNO
2 JULAI -14 JULAI 2010
-------------------------------

Jakarta Book Fair yang ke-20,  yang akan berlangsung di Gelora Bung Karno, Senayan, Jakarta  pada 2 Julai hingga 14 Julai ini dijangka akan disertai hampir 300 penerbit buku seluruh Indonesia. Ini merupakan pesta buku terbesar di Indonesia yang akan melibatkan sebahagian besar penerbit popular dengan kesemua kategori buku.

Peminat buku, terutama peminat-peminat buku bahasa, sastera, budaya dan lain-lain pasti akan teruja untuk mendapatkan buku terbaru dengan harga rendah. Seperti lalu, melalui pesta itu penerbit akan memberikan diskaun antara 20 % hingga 70 % kepada pengunjung.

Berminat untuk bersama mengunjungi pesta buku terbesar di Jakarta itu,
Sila klik

Saturday, March 20, 2010

Pelancong Asing : Ke Malaysia 22 juta, Ke Indonesia 5 juta ?

Dengan 11 pintu masuk utama, khabarnya Indonesia sekadar menerima kedatangan pelancong asing sekitar 5.5 juta sahaja setiap tahun sejak satu dasawarsa lalu, berbanding dengan negara kita yang menerima tetamu sehingga 22.5 juta tahun lalu. Manakala Singapura dan Thailand masing-masing 10 juta dan 15 juta orang.

Kenapa Indonesia yang mempunyai 17,508 pulau yang indah-indah, budaya yang unik termasuk objek pelancongan yang diiktiraf oleh PBB sebagai warisan dunia tetapi tidak mampu meningkatkan kedatangan pelancong sekurang-kuranya menandingi Malaysia dan Singapura.

Dikalangan pelancong Malaysia,  Indonesia mempunyai beberapa pusat perniagaan dan membeli-belah yang menawarkan harga barangan dengan harga lebih rendah ditambah pula dengan tukaran asing yang berpihak kepada mereka telah menjadi satu tarikan bagi mereka. Ini menjadi faktor utama kenapa pelancong Malaysia ramai ke Indonesia selain sumbangan Airasia yang menyediakan tambang agak murah..

Terbaca satu artikel, bertajuk `Tragedi Parawisata Indonesia` dalam akhbar Kompas( sila klik), penulisnya Anak Agung Gde Agung mempersoalkan `bagaimana bisa Indonesia yang begitu meluap dengan kekayaan budaya dan kecantikan alam hanya menarik kurang dari seperempat jumlah turis yang dilakukan Malaysia yang relatif begitu tandus?`

Anak Agung mendakwa, hanya Bali sahaja yang menjadi fokas pelancongan oleh pemerintah Indonesia menyebabkan objek-objek pelancongan yang lain telah terabai hingga melembabkan kemudahan infrastruktur yang sepatutnya, boleh menarik para pelancong asing.

Sebagai seorang yang berminat berkunjung keIndonesia dan telah lebih 30 kali ke sana atas urusan perniagaan, saya dapati ada beberapa kriteria yang boleh menjadi sedikit halangan atau yang menyebab rasa kurang selesa tatkala mengunjungi negara tetangga itu.

Dengan hotel penginapan yang termahal di Asia Tenggara diikuti harga makanan yang lebih mahal dari beberapa ibu kota yang lain di rantau ini serta cukai lapangan terbang yang tidak berpadanan dengan kemudahan di lapangan terbang , adalah antara faktor yang boleh membantutkan industri pelancongan di Indonesia selain sikap pemandu teksi yang mengecewakan. Contohnya, cukai lapangan terbang KLIA cuma mengenakan RM25 ( kira-kira Rp70,000 ) berbanding Jakarta yang berjumlah Rp150,000 ( RM56 ).

Malah bagi pelancong Malaysia pula, faktor anti Malaysia sebilangan kecil rakyat Indonesia yang diperbesar media negara itu sebagai elemen tambahan yang memualkan rakyat Malaysia selain kerisauan bencana alam seperti gempa bumi yang kerap dan tidak dapat diramal itu.

Friday, March 19, 2010

Festival Pegelaran Seni Budaya Perguruan Tinggi se-Asean

 Tarikh : 24 hingga 27 April 2010 - di Taman Budaya Barat, Bandung


Festival Pegelaran
seni Budaya
Institusi Pengajian
Tinggi se-Asean
merupakan kegiatan
yang bertujuan
mengembangkan
potensi pelancongan
dan melestarikan
seni budaya negara-
negara peserta.
Selain disertai bebe-
rapa institusi pengajian
tinggi dari negara Asean, Festival ini disertai juga oleh mahasiswa dari negara Cina, Korea dan Jepun

Beberapa acara yang akan muncul pertama kali dalam festival di Bandung ini antara lain ialah pegelaran tari topeng, seminar seni budaya dan dan festival kuliner khas dari Negara Asean plus Jepun, korea dan Cina.

Berminat untuk mengikuti pakej ke Bandung sempena dengan festival ini, sila klik..
Pertanyaan Lanjut ;
Adnan Moksin - 013 3952328

Solo International Contemporary Ehhnic Music Festival (SIEM) 2010

SIEM kali ketiga..klik

Tuesday, March 16, 2010

International Art Fair “Art of Indonesia 2010"

International Art Fair “Art of Indonesia 2010

April 29, 2010 - May 02, 2010
Pesta Art Indonesia - Pasti akan menjadi medan pertemuan yang amat baik dan sesuai bagi para seniman, koleksi barangan seni serta pemilik-pemilik galeri mencari, membeli dan menjual prodak kesenian Indonesia yang dikatakan unit dan kreatif itu.

Acara ini akan berlangsung di Pekan Raya Jakarta  mulai 29 April hingga 2 May 2010. Rujukan

Bagi yang berminat untuk berkunjung sempena acara itu, sila klik untuk melihat pakej 3H 2M

Saturday, March 13, 2010

Jun - Bulan Penuh Festival dan Pesta di Jakarta

Sangat menarik untuk membuat lawatan ke Jakarta pada bulan Jun, kerana tempuh itu dipenuhi dengan lebih sepuluh pameran, pesta serta festival yang berlangsung di beberapa lokasi di bandaraya itu.

Bertempat di Jakarta Convention Centre ( JCC ) di Senayan sahaja, akan berlangsung beberapa acara termasuk `Minggu Produk Budaya Indonesia ` yang diadakan pada 12 hingga 20 Jun manakala acara ` Jakarta Mister and Miss Contest` pada 16 Jun serta `Furniture Expo 2010` mulai 12 hingga 20 Jun.

Selain di JCC, acara ` Batavia Art Festival` akan berlangsung di Taman Fatahilah mulai 23 hingga 26 Jun manakala program `Jakarta Naval` yang dijadualkan pada 27 Jun akan berlangsung diantara Jalan Merdeka sehingga ke Jalan Thamarin.

Bagi peminat seni tari pula, akan pasti teruja dengan program `Indonesia Dance Festival` yang akan diadakan pada 23 Jun sehingga 26 Jun bertempat di Taman Ismail Marzuki ( TIM ) .

Manakala `Festival Pasar Baru`, `Festival Rava Balong`, program `Coastral Art Perfomance` dan program `Folk Art Stage` serta `Festival Budaya Batavi` akan berlangsung sepanjang bulan Jun itu selain acara `Jakarta Fair` yang akan diadakan di Arena Pekan Raya, mulai awal Jun berlarutan sehingga 17 Ogos depan.

Berminat untuk menyertai mana-mana pakej ke pesta itu, sila klik..

Thursday, March 11, 2010

Mereka - Pertama Kali ke Islamic Book Fair

Sekalipun kelihatan `lusuh` kerana terperangkap dalam kamacetan ( kesesakan lalu lintas ), namun bertukar segar sebaik-baik dapat membuat sentuhan sulung buku-buku dalam pameran `Islamic Book fair` di Gelora bung Karno, Jakarta - sama tempatnya dimana pemain negara kita sering bergasak dengan Indonesia dalam pertandingan badminton.

Perjalanan normal dari hotel penginapan yang hanya beberapa minit kini terpaksa menempuh masa hampir dua jam apabila jalan menuju ke JCC dipadati dengan ribuan kenderaan yang mengarah ke tapak pesta buku agama terbesar Asean yang telah dirasmikan wanita pertama negara yang mempunyai penduduk islam paling banyak di dunia itu.

Rakan-rakan - seperti Rosli Saad, Norhaflinda Sahabudin, Haji Sahri Awang serta Dr Ani Sulaiman terus lesap di celah-celah susunan buku dan ribuan pengunjung sebail-baik sahaja sampai ke JCC.

Melihat keghairan teman itu, membuak-buakkan pula simpati saya dengan seorang lagi rakan, Abdul Rashid Mohamad yang hanya terbaring di kamar hotel sejak sampai ke Jakarta gara-gara di serang sakit gouts ( sakit asam urat, kata teman di Jakarta ), bukan sebelah kaki tetapi kedua-duanya sekali. Satu suasana yang belum pernah dialaminya sedangkan beliau telah lebih dua bulan teruja untuk ke pesta itu.

Seperti dijanjikan, dua setengah jam selepas itu kesemua mereka berkumpul semula di pintu masuk tapak pesta. Ternyata Rosli berjaya memadatkan beg pakaiannya dengan buku pilihannya hanya dalam tempuh yang begitu singkat. Demikian juga dengan Dr Ani dan Norshaflinda. Barangkali Haji Sahri pula, masih dalam situasi ` meninjau` sahaja terlebih dahulu tatkala itu. Pada hari kedua kemudiannya, beliau membeli sebuah buku yang katanya akan diadaptasikan.

Syabas kepada kesemua rakan seperjalanan dan terima kasih kerana sudi bersama saya

Monday, March 8, 2010

Nasib Rashid Ketika Islamic Book Fair 2010

Beliaulah rakan yang pertama saya pelawa untuk bersama dalam rombongan kami ke Islamic Book Fair` di Jakarta dan tanpa berfikir panjang beliau bersetuju mengikuti rombongan itu.

Sejak itu, awal bulan januari, beliau telah mula mengatur beberapa rancangan untuk membuat pembelian yang sesuai dengan hasrat untuk mengadaptasi buku bersama penerbit PTS selain memohon cuti ke luar negara dari jabatannya.

Malah, beliau terbang ke Jakarta pada 3 Mac iaitu sehari lebih awal dari jadual pesta buku berkenaan hatta dua hari pula awalnya dari jadual perjalanan rombongan kami yang dijadualkan pada 4 Mac.

Demikian gambaran betapa terujanya, Abdul Rashid Muhammad, seorang pegawai pendidikan dari Port Dicson tapi berjiran dengan saya di Seremban untuk memburu buku dalam `Islamic Book Fair 2010` yang berlangsung di Gelora Bung Karno, di Jakarta itu.

Sayang seribu kali sayang, pastinya kerana telah ditakdir ilahi, semua impiannya berkecai kerana sebahagian besar tempuh rombongan kami beliau terpaksa terbaring di kamar gara-gara diserang gouts di kedua-dua belah kakinya.

Sejak rombongan kami sampai ke hotel penginapan, Rashid telah mula mengadu sakit pada kaki kanan dan mula menggeledah ubat dalam beg pakaiannya. Bagaimanapun, beliau terpaksa juga meminta kami membelikan ubat di Apotek ( farmasi dalam istilah di Jakarta ) yang dibuka 24 jam. Maka pada jam 1 pagi malam itu, saya meminta bantuan seorang ojek mencari ubat yang dimintanya itu.

Kerana masih tidak reda kesakitannnya dan setelah mengadu kesakitan itu kini menjalar ke kaki kirinya pula, saya menghantar beliau ke sebuah hospital swasta di Jalan Senen Raya, di tengah-tengah kotaraya itu.

Hanya setelah mendapat suntikan pada jam 3.30 pagi di Rumah Sakit Kramat 128 itulah, kaki kanannya mulai pulih pada keesokan harinya. Ternyata beliau amat lega kerana hanya menerima bil Rp245,000 dari rumah sakit itu, bukan berjuta sepertimana yang kami dugakan.

Meskipun kaki kirinya masih terasa sakit, namun pada saat-saat terakhir rombongan kami itu, beliau sempat juga belanja kami makan roti canai dan nasi lemak di KL Villagge, satu-satunya tempat yang terdapat restoran menjual makanan itu di Jakarta. Ternampak macam membayar niat sahaja...

Tuesday, March 2, 2010

Melancong Sambil Menjengah Buku di Bandung

Bandung sebuah lagi bandar utama di Indonesia yang turut popular dikalangan pelancongan Malaysia yang cenderung untuk membeli belah terutama mendapatkan pakaian berjenama selain tarikan alam sekitar dan tarikaln fizikal yang lain.

Bandar itu sememangnya meyediakan banyak pilihan untuk membeli belah seperti di Jalan Ir.H. Djuanda (Dago), Jalan L.L.R.E. Martadinata, juga Jalan Cihampelas di mana outlet-outlet seluar jean dan baju T yang berjenama berderet di sepanjang jalan. Maka tidak hairanlah ramai juga selebriti tanah air kita yang dilihat sering berkunjung ke bandar itu untuk maksud yang sama.

Sebab itu jugalah, hampir setiap hujung minggu bandar ini akan dipenuhi oleh banyak kereta berplat jakarta kerana sememangnya kotaraya ini menjadi destinasi hujung minggu mereka. Kamacetan ( kesesakan jalan raya ) akan bermula pada petang jumaat hingga kepetang Ahad yang menyebabkan kesulitan mendapatkan hotel pilihan pula.

Bagi pelancong kalangan peminat buku, mereka pasti mengunjungi pusat buku di Pasar Buku Palasari dimana terhimpun begitu banyak toko-toko yang menjual segala buku dari semua penerbit. Malah di sini, jika kita rajin bertanya terdapat banyak juga buku antik jika berminat.

Bagi peminat-peminat buku yang berhobikan mengumpul buku, mereka mestilah juga berkunjung ke jalan Cikapundung kerana di situ terhimpun banyak buku antik hatta jika bernasib baik akan tersua buku yang diterbitkan oleh penjajah Belanda.

Saya sendiri pernah terjumpa buku dari Malaysia yang diterbitkan pada tahun 1967 selain buku mengenai Bandung yang diterbitkan pada tahun 1890. Buku-buku antik yang saya beli telah dijual kepada seorang rakan merupakan seorang peminat buku antik yang banyak membuat koleksi buku berkenaan sejarah.

Selain Palasari dan Jalan Cikapundung, anda boleh mendapatkan buku dan majalah lama yang diterbitkan sejak 1980-han di Jalan Rd. Dewi Sartika (dekat Alun-Alun Kota Bandung), Jalan Supratman (Pasar Suci), dan Jalan Cihapit. Sementara, bagi yang berminat untuk mengumpul kaset-kaset lama boleh singgah di Jalan Rd. Dewi Sartika, atau Jalan Cihapit.