Monday, March 8, 2010

Nasib Rashid Ketika Islamic Book Fair 2010

Beliaulah rakan yang pertama saya pelawa untuk bersama dalam rombongan kami ke Islamic Book Fair` di Jakarta dan tanpa berfikir panjang beliau bersetuju mengikuti rombongan itu.

Sejak itu, awal bulan januari, beliau telah mula mengatur beberapa rancangan untuk membuat pembelian yang sesuai dengan hasrat untuk mengadaptasi buku bersama penerbit PTS selain memohon cuti ke luar negara dari jabatannya.

Malah, beliau terbang ke Jakarta pada 3 Mac iaitu sehari lebih awal dari jadual pesta buku berkenaan hatta dua hari pula awalnya dari jadual perjalanan rombongan kami yang dijadualkan pada 4 Mac.

Demikian gambaran betapa terujanya, Abdul Rashid Muhammad, seorang pegawai pendidikan dari Port Dicson tapi berjiran dengan saya di Seremban untuk memburu buku dalam `Islamic Book Fair 2010` yang berlangsung di Gelora Bung Karno, di Jakarta itu.

Sayang seribu kali sayang, pastinya kerana telah ditakdir ilahi, semua impiannya berkecai kerana sebahagian besar tempuh rombongan kami beliau terpaksa terbaring di kamar gara-gara diserang gouts di kedua-dua belah kakinya.

Sejak rombongan kami sampai ke hotel penginapan, Rashid telah mula mengadu sakit pada kaki kanan dan mula menggeledah ubat dalam beg pakaiannya. Bagaimanapun, beliau terpaksa juga meminta kami membelikan ubat di Apotek ( farmasi dalam istilah di Jakarta ) yang dibuka 24 jam. Maka pada jam 1 pagi malam itu, saya meminta bantuan seorang ojek mencari ubat yang dimintanya itu.

Kerana masih tidak reda kesakitannnya dan setelah mengadu kesakitan itu kini menjalar ke kaki kirinya pula, saya menghantar beliau ke sebuah hospital swasta di Jalan Senen Raya, di tengah-tengah kotaraya itu.

Hanya setelah mendapat suntikan pada jam 3.30 pagi di Rumah Sakit Kramat 128 itulah, kaki kanannya mulai pulih pada keesokan harinya. Ternyata beliau amat lega kerana hanya menerima bil Rp245,000 dari rumah sakit itu, bukan berjuta sepertimana yang kami dugakan.

Meskipun kaki kirinya masih terasa sakit, namun pada saat-saat terakhir rombongan kami itu, beliau sempat juga belanja kami makan roti canai dan nasi lemak di KL Villagge, satu-satunya tempat yang terdapat restoran menjual makanan itu di Jakarta. Ternampak macam membayar niat sahaja...

No comments:

Post a Comment